Bulan Ramadhan merupakan bulan yang paling baik diantara bulan-bulan Islam yang ada, malah amalan bulan Ramadhan yang kita lakukan dalam bulan ini akan dibalas lipat kali ganda oleh Allah SWT.
Kedatangan bulan Ramadhan adalah yang paling ditunggu-tunggu kerana kita ditawarkan pelbagai kebaikan dan pahala dalam bulan ini.
Jangan sia-siakan peluang untuk beramal sepenuhnya pada bulan yang penuh barakah ini kerana bulan ini hanya datang sekali sahaja dalam setahun.
Bulan ini juga merupakan waktu terbaik untuk kita memperbaiki diri, bukan sahaja dengan mengawal hawa nafsu malah kita juga dituntut untuk melakukan amalan-amalan sunat yang lain.
Amalan Bulan Ramadhan Yang Boleh Dilakukan Sendiri Atau Bersama Keluarga
ISI KANDUNGAN (Klik untuk terus kepada tajuk).
1. Bersahur
Sahur bukan sahaja untuk mengisi perut kita selama 14 jam sehari, namun bersahur juga adalah satu keberkatan.
السَّحُورُ أَكْلُهُ بَرَكَةٌ ، فَلاَ تَدَعُوهُ ، وَلَوْ أَنْ يَجْرَعَ أَحَدُكُمْ جُرْعَةً مِنْ مَاءٍ ، فَإِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَمَلاَئِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى الْمُتَسَحِّرِينَ
Maksudnya:
"Makan pada waktu sahur adalah satu keberkatan. Jangan pernah kalian meninggalkannya walaupun hanya dengan satu tegukan air. Sesungguhnya Allah memberikan rahmat dan para malaikat pula mendoakan ke atas orang yang bersahur".
Kita seharusnya melewatkan sahur dan mencepatkan waktu berbuka puasa. Namun, ada sesetengah yang tidak mahu bangun awal sahur dan mereka sahur pada tengah malam.
Lebih afdal jika kita bangun pada awal pagi sebelum masuknya waktu subuh untuk bersahur kerana kita akan mendapat keberkatan dari perbuatan bersahur tersebut.
2. Sedekah
Bersedekah bukannya dari segi wang ringgit sahaja. Walaupun sekadar sebiji tamar dan seteguk air untuk orang lain berbuka puasa, ia sudah memadai. Bersedekah semampu kita yang penting ianya ikhlas dari hati.
Sesungguhnya bersedekah dalam bulan Ramadhan akan diberi pahala yang berlipat kali ganda oleh Allah SWT.
Pada bulan-bulan lain juga kita sangat digalakkan untuk bersedekah juga, tetapi tidak salah jika kita berbuat lebih kebaikan lagi-lagi dalam bulan yang mulia ini.
Jangan sia-siakan bulan Ramadhan yang hanya setahun sekali datang ini dengan perkara yang tidak bermanfaat. Kekayaan sebenar bukanlah kerana banyak ‘memiliki’ tetapi kerana banyak ‘memberi’.
3. Solat Sunat Tarawih
Solat Sunat Tarawih adalah satu ibadah yang sangat istimewa kerana ianya cuma boleh dilakukan sebulan dalam setahun iaitu pada bulan Ramadhan sahaja.
Solat Tarawih ini solat sunat muakkad yang dituntut untuk dikerjakan oleh umat Islam sama ada secara berseorangan ataupun secara berjemaah.
Kalau boleh jangan tinggalkan amalan bulan Ramadhan seperti solat sunat tarawih ini kerana anda akan berasa sangat rugi lebih-lebih lagi jika tidak meninggalkan terus.
Allah menjanjikan pahala yang banyak bagi mereka yang mengerjakan amalan ini terutama pada yang solat tarawih secara berjemaah di masjid atau di rumah.
4. Qiamullai
Apakah maksud Qiamullai?
Qiamullai adalah satu amalan sunat yang bermaksud ‘bangun malam’ iaitu bangun bertujuan untuk beribadat kepada Allah SWT.
Amalan ini bukanlah amalan yang baru diwujudkan, malah ia sudahpun menjadi kebiasaan bagi para rasul, nabi-nabi dan alim ulama sejak dahulu lagi.
وَمِنَ ٱلَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِۦ نَافِلَةًۭ لَّكَ عَسَىٰٓ أَن يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًۭا مَّحْمُودًۭا
Maksudnya:
"Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah solat tahajjud padaNya, sebagai solat tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji."
Amalan ini lebih digalakkan lagi untuk dilakukan pada bulan Ramadhan kerana sudah tentunya kita akan mendapat pahala yang lebih pada bulan itu.
Di samping itu, kita juga boleh bangun sedikit awal sebelum bersahur. Sambil menunggu untuk bersahur, boleh juga mendirikan solat sunat 2 rakaat dan beribadat kepada Allah SWT.
5. Menyediakan Makanan Kepada Orang Berpuasa
Amalan bulan Ramadhan yang sering kita lihat adalah ramai yang bersedekah dalam bulan itu lebih-lebih lagi makanan berbuka puasa untuk golongan yang memerlukan.
Besar pahala kepada orang-orang yang menginfaqkan harta dan menyediakan juadah berbuka atau sahur kepada mereka yang berpuasa.
Rasullah S.A.W bersabda bahawa:
"Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang bepuasa (untuk berbuka puasa), dia akan mendapat balasan pahala yang sama seperti pahala orang yang berpuasa itu tanpa dikurangkan sedikit pun daripadanya."