
Pernahkah anda mengalami pijar di tangan disebabkan oleh cili? Ia adalah perkara biasa yang berlaku apabila kita terlalu lama memegang cili.
Namun, pijar di tangan ini bergantung kepada sensitiviti kulit masing-masing. Ada yang apabila memegang cili sekejap sahaja boleh menyebabkan pijar di tangan dan ada pula yang susah untuk pijar tangan disebabkan cili.
Bagaimana cara untuk hilangkan pijar cili di tangan? Adakah perlu basuh tangan dan biarkan ia reda dan kembali normal?
Pakar Kimia, Dr Fatimah ada berkongsi beberapa petua yang boleh digunapakai apabila mengalami pijar cili.
HILANGKAN PIJAR CILI: PETUA Vs SAINS
Terdapat banyak petua untuk menghilangkan rasa pijar di tangan. Antara petua-petua yang diketengahkan ialah mencuci tangan dengan sabun dan air, merendam/ meramas tangan dalam beras, minyak masak, garam, losyen, sapu ubat gigi, rendam dalam air berais batu, cuci dengan lemon, rendam dalam air suam, ramas dengan hampas kelapa, basuh dengan sabun mandi, gentel dengan garam atau gula, sapu minyak dan diang tepi api (bukan salai ya), rendam air garam, ramas dengan daun jambu, pegang sudu besi, ada yang biarkan saja dan ada yang elakkan pijar terus.
Baiklah jom kita analisa petua-petua tersebut sama ada boleh diterima atau tidak dari sudut sains. Tapi sebelum itu kita haruslah ketahui dahulu punca rasa pijar tersebut dan bagaimana ianya boleh berlaku.
Punca rasa pijar disebabkan oleh kehadiran bahan kimia semulajadi di dalam cili iaitu capsaicin. Ianya merupakan bahan kimia utama dalam cili yang memberikannya rasa pedas.
Semakin banyak kandungan capsaicin dalam cili, semakin pedas rasa cili tersebut. Memahami sifat kimia capsaicin sangat penting kerana ianya akan membantu dalam menerangkan sama ada petua-petua di atas sesuai atau tidak untuk digunakan.
Capsaicin merupakan bahan kimia dari kumpulan berfungsi alkaloid yang dikenali juga dengan nama capsaicinoids. Alkaloids biasanya bersifat basic.
Namun kerana kehadiran kumpulan carbonyl (C=O) bersebelahan dengan atom nitrogen ( N) dalam struktur kimia capsaicin menyebabkannya berubah kutub (polarisation), lalu bersifat acidic (part ini kalau tidak faham, abaikan saja
Struktur kimia capsaicin mempunyai ekor panjang yang bersifat hydrophobic (tidak menggemari air) yang membolehkannya larut dalam minyak, lemak atau larutan organik.
Semasa proses memotong cili, bahan kimia ini terbebas dan membuat ikatan dengan tisu kulit kita. Ikatan ini akan mengaktifkan protein yang bertanggungjawab untuk mengesan rasa panas dan sakit sederhana di kulit lalu menghantar maklumat ke otak.
Otak akan mentafsir ianya sebagai rasa panas. Mekanisma ini akan membuatkan kita berasa pijar atau orang Putih panggil βburning sensationβ.
Setelah mengetahui sifat bahan kimia penyebab rasa pijar aka pedas iaitu capsaicin, maka boleh lah kita menganalisa kebersandaran kepada petua-petua tadi yang sepatutnya memisahkan capsaicin dari tisu kulit:
1) Melarutkannya dalam cairan yang lebih digemarinya (like dissolves like)

Cuci dengan minyak masak, sabun mandi, losyen dan susu (mengandungi lemak protein casein yang boleh melarutkan capsaicin). Dan kemudiannya mencuci dengan sabun.
2) Menukarkan sifat kimianya kepada yang lebih larut air

Mencuci dengan bahan berasid (asam jawa, cuka, lemon), air garam dan sapu ubat gigi.
3) Juga dengan geseran kasar

Ramas dengan hampas kelapa (kalau masih lagi bersantan, boleh melarutkan sekali capsaicin), ramas dengan garam dan gula sehingga cair (juga menukarkan sifat kimia capsaicin supaya lebih larut air), dan ramas dengan daun jambu batu.
4) Merencatkan deria rasa panas

Rendamkan tangan dalam air berais.
5) Meningkat tenaga molekul capsaicin dan protein pada kulit yang bertindakbalas agar mudah ditanggalkan.
Rendam air suam dan diang tepi api.
6) Placebo
Pegang sudu dan abaikan saja.
7) Menghindarkan daripada punca pijar. Ini βprevention is better than cureβ.
Harus diingat, tahap pijar setiap individu adalah berbeza mengikut sensitiviti kulit masing-masing. Maka, bolehlah anda mencuba mana-mana petua-petua yang bersesuaian. Jika kena dengan caranya, pasti menjadi!