7 Etika Dalam Mencari Pasangan Hidup

  • 6 min read
  • Dec 20, 2018
etika dalam mencari pasangan hidup 1

Persidangan dan konvensyen Islam (seperti yang dianjurkan oleh Persatuan Islam Amerika Utara & Persatuan Muslim Amerika, Imam W. D. Mohammad) adalah salah satu daripada tempat-tempat yang dijadikan lokasi untuk ramai orang Islam Amerika Utara, bertemu dengan pasangan berpotensi mereka.

Dalam pertemuan ini, mereka samada membincangkan keputusan untuk berkahwin atau sekadar untuk memulakan proses komunikasi perkahwinan tersebut.

Tempat-tempat pertemuan lain termasuklah majlis makan malam amal, seminar serantau, majlis-majlis ilmu, di rumah saudara-mara atau rakan, dan juga masjid tempatan.

Malangnya, garis panduan Islam berkaitan dengan batas pergaulan di antara lelaki dan wanita tidak sentiasa dihormati di dalam pertemuan ini.

Sudah menjadi kebiasaan untuk melihat atau mendengar akan calon-calon berpotensi berjumpa secara sulit, kaum lelaki dan wanita mencari-cari pasangan yang kelihatan baik di acara-acara Islamik seperti persidangan atau majlis-majlis ilmu, atau memulakan perbualan mengurat dengan seseorang yang mereka minati.

Tidak ada satupun antara semua ini tertakluk dalam garis panduan yang ditetapkan Islam.

Berikut adalah beberapa prinsip-prinsip Islam, kedua-duanya umum dan spesifik, untuk dipertimbangkan sekiranya anda akan bertemu atau mencari pasangan yang berpotensi untuk diri sendiri atau orang lain di dalam mana-mana persidangan, kuliah, masjid atau acara-acara lain:


1. Tanya Diri Anda: Kenapa saya berkahwin

Ini adalah satu soalan yang amat baik untuk ditanyakan sekiranya anda menemui seseorang dengan tujuan untuk membuat keputusan berkahwin, kerana ia akan menjadi peringatan tentang tujuan sebenar sesuatu perkahwinan itu daripada perspektif Islam.

Perkahwinan adalah sebahagian daripada iman dan ia adalah sebahagian daripada sunnah Nabi Muhammad SAW.
Juga, “niat saya haruslah saya sedang mencari seseorang yang mana dengan dia saya akan membina sebuah keluarga,” kata Imam Muhammad Nur Abdullah, ahli Majlis Fiqh Amerika Utara. Beliau telah menjalankan kaunseling pra-perkahwinan di Amerika Syarikat selama dua dekad.

“Perkahwinan adalah satu komitmen dan hubungan yang bermula di dalam Dunya (dunia) ini dan akan berterusan Insya Allah di dalam syurga bersama-sama,” tambah beliau.


2. Tanya Diri Anda: Apa yang saya cari dalam pasangan

Dari Abu Hurairah r.a : Nabi SAW bersabda,

“Wanita dinikahi kerana empat perkara; kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Pilihlah kerana agamanya, maka engkau akan beruntung dan bahagia.”

(Bukhari, Muslim)

Hal ini sudah tentu tertakluk kepada golongan wanita juga. Walau bagaimanapun, agama seolah-olah bukan keutamaan dalam pemikiran ramai orang. Malahan, ia mungkin faktor terakhir dalam senarai untuk kebanyakan orang Islam.

Menurut Tasneem Qadeer, salah seorang daripada tujuh sukarelawan yang menguruskan hal perkahwinan di Persatuan Islam Amerika Utara, menjadi seorang doktor atau peguam adalah lebih penting untuk kebanyakan wanita berbanding bertakwa.

Golongan lelaki juga lebih kurang sama. Kebanyakan iklan-iklan mencari isteri di dalam makalah Islam contohnya, memaparkan permintaan utama untuk isteri adalah yang “berkulit cerah, langsing dan cantik”.

“Jika kita menginginkan keluarga Islam yang bahagia, maka Deen (pegangan agama) harus menjadi keutamaan,” kata Nadir Aneesah, Presiden Persatuan Perkhidmatan Masyarakat Islam di Amerika Syarikat dan Kanada.

Beliau adalah salah seorang daripada pemaju bersama program “Perkahwinan Melalui Jalan Islam”, yang mengajar pelbagai aspek perkahwinan seperti bagaimana untuk mencari pasangan hidup, berkahwinan dan hubungan selepas berkahwinan.


3. Jika anda sedang mencari pasangan hidup, sekat (kawal) pandangan anda

Ini mungkin kedengarannya agak bercanggahan, namun sebenarnya tidak. Mencari pasangan yang memiliki kualiti yang baik dan yang menarik secara fizikalnya tidak bermakna harus membuang kewajipan dengan menyekat pandangan kedua-dua jantina.

“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.”

(Quran 24:30).

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka…”

(Quran 24:31).

Mencari-cari pasangan dengan keluar daripada perspektif ini, tidak akan diterima oleh Islam.

Imam Nur Abdullah mencatatkan bahawa melihat pasangan yang berpotensi adalah disyorkan, menurut Hadis di mana Nabi SAW bersabda:

“Apabila salah seorang dari kamu melamar seorang wanita dalam perkahwinan, jika dia mampu melihat apa yang akan mendorong dia untuk mengawininya, maka hendaklah ia berbuat demikian. … “

(Riwayat Ahmad dan Abu Dawud dengan perawi-perawi yang dapat dipercaya. Hadis shahih menurut Hakim).

Ini bermakna kedua-dua pasangan yang berpotensi boleh melihat antara satu sama lain tetapi bukan dengan pandangan bernafsu atau renungan tajam.

Abdullah juga menyatakan tidak ada had kepada berapa kali kedua-dua orang ini boleh melihat satu sama lain.

Walau bagaimanapun, kedua-dua harus takut kepada Allah dan ingat tujuan ini (berpandangan) adalah untuk memenuhi keperluan untuk melihat tarikan fizikal yang dimiliki oleh orang yang ingin dikahwini.

Beliau juga menyatakan adalah tidak dibenarkan bagi seorang lelaki untuk melihat isteri yang berpotensi tanpa Hijab, kerana dia bukan Mahram si wanita (saudara si wanita dimana perkahwinan tidak mungkin berlaku, atau suaminya).

Abdullah mengatakan sekadar melihat muka dan tangannya sudah cukup untuk menentukan ciri-ciri menarik yang ada padanya.


4. Dapatkan seseorang untuk membantu

Perkahwinan bukanlah sesuatu yang harus anda uruskan semuanya sendiri. Mendapatkan bantuan daripada orang lain, terutamanya ibu bapa, saudara-mara, Imam, dan/atau ahli masyarakat Islam yang dihormati dan dipercayai, untuk mencari pasangan hidup yang tepat atau memulakan dan melibatkan diri dalam proses komunikasi perkahwinan adalah sangat penting.

Melibatkan orang lain juga dapat mengesahkan andai orang yang anda minati itu adalah seorang yang baik, jujur dan menghormati orang lain.

Orang/ Orang-orang ini kebiasaannya akan mencari rujukan (kenalan si calon), bertanyakan tentang karakter peribadi calon tadi dan tingkah lakunya, dan kebiasaannya ianya adalah untuk kepentingan anda secara amnya.

Orang ini haruslah seorang Muslim yang boleh dipercayai, kerana anda sedang mencari pasangan Muslim juga, dan tentunya anda inginkan mereka yang biasa dengan cara Islam dalam proses pencarian mereka.

Bagi mereka yang dikurniakan ibu bapa beragama Islam, ingatlah mereka berkemungkinan adalah sekutu dan pembantu terbaik anda dalam mencari suami atau isteri yang terbaik untuk anda.

Mereka mengenali anda seumur hidup anda, dan sudah tentu mereka mengutamakan kepentingan anda.

Walau bagaimanapun, ibu bapa mestilah berfikiran terbuka dan memberi perhatian kepada ciri-ciri yang anak-anak mereka ingin cari, dan jangan sesekali lupa unsur pemilihan.

Kerana di akhirnya nanti, anak mereka juga yang akan membuat keputusan muktamad. Mereka tidak boleh menjadi terlalu mendesak atau agresif, samada keatas anak mereka sendiri atau kepada orang yang dipilih oleh anak mereka.

Seandainya ibu bapa, ahli keluarga yang lain, Imam atau anggota masyarakat terhormat tidak boleh didapatkan, anda boleh juga mencuba mencari suami atau isteri melalui perkhidmatan perkahwinan yang ditawarkan oleh beberapa pertubuhan Islam yang ada.


5. Sentiasa bertanya kepada rujukan anda

Ini juga adalah keadaan di mana “pihak ketiga” dapat membantu anda. Bukan saja mereka boleh menjadi rujukan atau sumber maklumat anda, mereka juga boleh menyemak rujukan bakal pasangan ini.

Rujukan ini termasuklah Imam yang mengenali abang kepada bakal pasangan tersebut, kakak yang mengenali wanita yang bakal dikahwini, kawan rapat keluarga, ketua, rakan sekerja, dan/atau rakan perniagaan calon.

Satu nota mengenai kejujuran dan rujukan: orang yang anda tanyakan mungkin mengetahui sesuatu yang tidak begitu baik tentang bakal pasangan anda. Ingatkan mereka bahawa dari perspektif Islam, ini tidak dikategorikan sebagai mengumpat.

Malah, dalam hal ingin membina rumahtangga, maklumat yang lengkap hendaklah diberikan mengenai seseorang individu tersebut, tak kira ianya baik mahupun buruk.

etika dalam mencari pasangan hidup 2

Nasihat seorang sahabat Nabi, Umar Ibn al-Khattab, boleh membantu dalam hal ini:

Seorang lelaki datang kepada Umar ibn al-Khattab dan berkata dalam nada memuji akan seorang yang lainnya. Umar bertanya kepadanya: “Adakah anda jiran terdekatnya, seolah-olah anda amat mengenal dia?”

“Tidak.”

“Adakah anda pernah menemaninya dalam satu perjalanan lalu anda boleh melihat perwatakannya yang baik?”

“Tidak.”

“Pernahkah anda berurusan dengannya yang melibatkan dinar dan dirham [wang] yang akan menunjukkan ketakwaan orang itu?”

“Tidak.”

“Saya rasa anda pernah melihat dia berdiri di dalam masjid mengucapkan ayat-ayat al-Quran dan menggerakkan kepalanya ke atas dan ke bawah?”

“Ya.”

“Pergilah, kerana kamu tidak mengenal Dia …”

Dan kepada orang yang berkenaan, Umar berkata,

“Pergilah dan bawakan saya seseorang yang mengenali anda.”

(dipetik daripada Islam The Natural Way oleh Abdul Wahid Hamid, ms. 66)

Ini memberikan anda tiga jenis orang yang anda boleh tanyakan tentang perwatakan bakal pasangan anda seperti jiran, rakan sekerja perniagaan atau seseorang yang pernah mengembara bersama mereka.

etika dalam mencari pasangan hidup 3

6. Apabila anda berjumpa di mana-mana, jangan bersendirian

Nabi berkata:

“Setiap kali seorang lelaki bersendirian dengan seorang wanita, syaitan menjadi yang ketiga”

(Tirmidhi).

Baginda juga menasihatkan para lelaki:

“Tidak seorang pun di antara kamu harus menemui seorang wanita berseorangan sahaja melainkan kamu ditemani oleh kaum kerabat”

(Bukhari, Muslim).

Berjumpa secara sulit, di dalam bilik hotel ketika persidangan misalnya, tidak dibenarkan. Bakal pasangan tidak perlu meletakkan diri mereka dalam keadaan di mana tidak ada orang lain boleh melihat atau mendengar mereka.

Sebaliknya, temujanji disertakan dengan seorang tetamu lain perlu dilakukan. Tetamu ini pula, berada di dalam bilik yang sama sementara membolehkan kedua-duanya bercakap.

Juga, ibu bapa atau penjaga hendaklah menetapkan had masa.


7. Apabila anda bercakap, pastikan jelas dan padat

Tujuan untuk berjumpa dan bercakap antara satu sama lain mestilah tertakluk di dalam garis panduan Islam. Ini bermakna tidak ada ucapan berbaur seksual diucapkan daripada kedua-dua belah pihak.

Imam Nur Abdullah berkata, sebahagian topik yang dibincangkan bolehlah melibatkan minat masing-masing, keadaan kewangan lelaki tersebut, yang secara Islam-nya bertanggungjawab menyediakan semuanya cukup untuk isteri dan anak-anaknya, dan hubungan kedua-dua pasangan berpotensi tersebut dengan ibu bapa mereka.

Beliau menyatakan bahawa perbualan antara pasangan berpotensi tersebut tidak boleh sekadar untuk bercakap sahaja.

Perlu ada niat tegas dan jelas samada ingin meneruskan kepada pertunangan atau perkahwinan atau, jika salah seorang daripada mana-mana pihak merasakan tidak serasi, bolehlah memutuskan perhubungan itu dengan segera.

Ini untuk memastikan kedua-dua pihak tidak terluka lebih daripada yang mereka mampu dalam situasi sedemikian dan kekal dalam landasan Islam, Insya Allah.

Merujuk kepada soalan berkaitan sejarah seksual seseorang (sebagai contoh, pernah mempunyai teman wanita/lelaki, tidak menghidapi apa-apa jenis penyakit kelamin), Imam Nur Abdullah berkata perkara-perkara ini perlu disiasat dari awal-awal lagi, apabila membicarakan untuk merancang perkahwinan.

Ini bukanlah sesuatu yang perlu dijadikan isu perbincangan di peringkat terakhir komunikasi mereka.

Topik-topik lain yang juga perlu dibincangkan pada peringkat awal termasuk tahap pengetahuan dan amalan Islam, kerjaya dan rancangan masa depan pendidikan, kemahiran menguruskan rumahtangga dan di mana pasangan itu akan hidup selepas perkahwinan dan pada masa akan datang (negeri dan/atau negara, bersama mentua atau di apartmen/rumah mereka sendiri).

Imam tersebut juga mengatakan pasangan itu juga boleh mendapatkan ujian darah untuk memastikan kedua-dua sihat. Sesetengah negeri memerlukan proses ini sebelum melanjutkan kepada urusan perkahwinan.

Kesimpulan:
Mencari pasangan hidup adalah sesuatu yang amat digalakkan di dalam Islam. Sementara mencari pasangan berpotensi haruslah menjadi sesuatu yang umat Islam lakukan secara bantu-membantu, ini tidak boleh dilakukan dengan mengorbankan peraturan Islam yang berkaitan dengan kesopanan dan rasa hormat di antara berlainan jantina.


Kredit: Georgie Pauwels

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!