Guna pakai minyak masak ini sudah menjadi kebiasaan dalam negara kita, bahkan ada juga berlaku perkara seperti ini di negara lain.
Adakah boleh kita guna pakai minyak masak dalam masakan kita? Banyak spekulasi yang dibuat daripada netizen Malaysia ini berkaitan hal tersebut.
Punca kepada minyak masak berbuih juga boleh disebabkan oleh penggunaan minyak masak yang tidak ditukar atau minyak yang diguna semula.
Menurut pakar Kimia, Dr Fatimah ada menjelaskan tentang persoalan yang ditanya pengguna di Facebook berkaitan dengan guna pakai minyak masak ini dalam masakan.
Di bawah ini terdapat ringkasan jawapan dari beliau yang telah dijawab melalui akaun Facebook miliknya sendiri dengan menggunakan prinsip kimia.
Jawapan Ringkas Berkaitan Guna Pakai Minyak Masak Dalam Masakan

Ada yang tag saya dalam video perkongsian membersihkan minyak yang baru sekali guna dengan menggunakan bancuhan tepung jagung.
Adakah kaedah ini boleh dipakai? Jawapan saya, boleh saja. Ini kerana minyak baru sekali dan punca kotornya bukan sebab digunakan berulang kali.
Kadang-kadang memang ada komponen masakan yang mudah mengotorkan minyak walaupun baru guna sekali.
Jadi bancuhan tepung yang dituang ke dalam minyak dan digoreng boleh bantu perangkap kotoran/ keladak agar mudah dipisahkan daripada minyak.
Cuma nak pesan, elakkan menggoreng dengan minyak yang sama berulang kali.

Ini kerana haba yang tinggi akan merosakkan struktur kimia minyak disebabkan tindak balas pengoksidaan, hidrolisis dan pempolimeran.
Tindak balas ini akan menghasilkan bahan kimia berbahaya yang mana boleh diserap ke dalam komponen masakan yang digoreng.
Hasil daripada tindak balas kimia minyak ini mudah saja dipastikan dengan berubahnya warna menjadi gelap dan tekstur minyak menjadi lebih likat.
Keladak yang terbentuk hasil daripada tindak balas sesetengah komponen masakan pada suhu yang tinggi juga berpotensi memberikan risiko kepada kesihatan.
Kajian menunjukkan perkaitan antara penggunaan minyak masak menggoreng berulang kali dengan risiko kanser dan penyakit kardiovaskular.

Sebenarnya tiada garis panduan khas dalam berapa kali minyak masak boleh digunakan semula.
Namun terdapat kajian menunjukkan tidak banyak perbezaan kandungan bahan kimia peroksida dalam minyak masak gorengan yang diguna baru sekali.
Namun, kandungan bahan kimia peroksida minyak masak gorengan meningkat 2 kali ganda dengan hasil 5 kali ulangan menggoreng.
Kandungan komponen antioksida minyak masak juga masing-masing menurun kepada 2 dan 9 kali ganda untuk minyak masak sekali dan lima kali guna.
Jadi kesimpulannya, perhatikan warna dan tekstur minyak masak gorengan anda.
Apabila sudah ditapis keladaknya dan minyak masih lagi berwarna gelap serta kelihatan likat, maka elakkan penggunaan.
Untuk minyak yang sudah ditapis keladaknya, saya secara peribadi hanya mengulang guna minyak masak sebanyak 3 kali saja.
Namun bergantung juga kepada jenis komponen gorengan dan suhu yang digunakan semasa memasak. Nota: Boleh juga asingkan kotoran dalam minyak (yang sudah disejukkan) daripada masakan dengan menggunakan penapis kopi, beberapa lapisan kain atau dengan alat penapis minyak khas.