
Penjelasan Tentang Rempah Saffron
Tahukah anda rempah saffron merupakan bahan masak yang termahal di dunia?
Ya. Ini kerana Saffron diperolehi daripada tangkai putik (stigma) bunga tumbuhan dari species Crocus sativus (famili Iridaceae).
Dan setiap bunga hanya mempunyai 3 stigma (rujuk gambar di bawah). Untuk menghasilkan 450 g safron, sekitar 75,000 bunga crocus diperlukan.

Walaupun mahal, ia digunakan secara meluas sebagai bahan tambah pewarna, rasa dan bau dalam makanan.
Saffron mengandungi lebih daripada 150 bahan kimia meruap dari kumpulan terpene berserta alkohol dan ester terbitannya.
Warna merah safron disebabkan oleh hadirnya bahan kimia terbitan carotenoid, iaitu crocin. Rasa pahit saffron disumbangkan oleh bahan kimia picrocrocin dan bau manis jerami (seakan rumput kering) saffron adalah disebabkan oleh bahan kimia safranal.

Selain dari dijadikan bahan tambah masakan, ia juga digunakan sebagai bahan perawat. Kajian menunjukan Safron boleh mengubah mood (merawat depresi dan PMS), membantu dalam merawat penyakit Alzheimer dan kanser, mengurangkan kekejangan otot dan pembengkakan luka juga bertindak sebagai antioksida.
Walaubagaimana pun, pengambilan safron dalam kuantiti yang banyak adalah tidak selamat. 5 g boleh menyebabkan keracunan, 12-20 g boleh menyebabkan kematian.
Antara kesan sampingan pengambilan safron adalah pening, loya dan muntah, ketidakselesaan perut dan alergi.

Disebabkan safron boleh memberikan kesan kepada sistem saraf pusat, maka elakkan pengambilan safron sekurang-kurangnya 2 minggu sebelum pembedahan.
Mengambil safron dalam kuantiti yang banyak oleh wanita mengandung juga mungkin boleh menyebabkan keguguran.
Kesan racun saffron ini disumbangkan oleh bahan kimia safranal dan crocin. Namun kesan racun ini mustahil dicapai hanya dalam penggunaan makanan biasa. Sama lah juga seperti pengambilan MSG.
Jumlah yang biasa dicampurkan dalam masakan hanyalah sedikit sekitar ~0.033 g untuk 5 orang makan.
Tambahan pula, penggunaan safron yang banyak memberikan rasa pahit dan mengganggu keseimbangan rasa makanan.
Begitulah pentingnya tahu perkaitan kuantiti dan kesan racun sesuatu bahan. Maka, bersederhana lah dalam apa juga.
Ambil tahu tahap kesihatan, dan peka dengan tindak balas badan terhadap apa juga makanan.