Kesihatan Lelaki: Kesihatan Dalaman Jiwa

  • 2 min read
  • Mar 04, 2018
kesihatan lelaki kesihatan jiwa

Dalam kesibukan mengejar cita-cita dan impian di dunia ini, penulis yakin bahawa  tiada yang pernah terlupa malah sangat menitikberatkan soal kesihatan. Hal ini kerana dengan kesihatan yang baik, segala urusan seharian dapat dijalankan dengan sebaiknya.

Kesedaran tentang pentingnya penjagaan kesihatan ini tidak mengira usia, jantina, bangsa mahupun agama. Namun, definisi kesihatan bagi setiap individu adalah berbeza.

Secara umumnya, apabila berdiskusi soal kesihatan, majoriti bersetuju bahawa kesihatan fizikal merupakan yang pertama dalam carta.

Tidak hairan jika kita melihat kaum Adam meluangkan masa dengan mengangkat besi-besi di gimnasium dan tidak kurang juga bagi kaum Hawa yang menyertai kelas senaman bagi mendapatkan fizikal yang sihat.

Seterusnya, mengekori rapat kesihatan fizikal adalah kesihatan dalaman. Soal pemakanan harus dititikberatkan kerana ia mampu menjamin kesihatan dalaman yang baik.

Oleh hal demikian, dapat  disaksikan pada masa kini, banyak iklan-iklan yang dipaparkan di kaca televisyen mahupun di akhbar mengenai produk-produk kesihatan yang menawarkan serta menjanjikan pelbagai kesan baik terhadap kesihatan.

Teknik promosi yang digunakan juga sangat menarik hingga ramai yang sanggup berbelanja ratusan ringgit untuk produk tertentu.

Namun, pernahkan diri berasa terhimpit oleh suatu perasaan “kosong” walaupun sudah memiliki segala yang diimpikan? Rasa gundah, ketidakteraman itu membuatkan diri seolah-olah hilang arah.

Jika pernah, itu bermakna kita terlupa  untuk memasukkan ke dalam carta akan kesihatan terpenting dalam hidup kita, iaitu kesihatan jiwa.

Jiwa yang sihat, tidak mudah mengeluh dengan dugaan dan cabaran dunia yang penuh dengan pancaroba. Jiwa yang sihat, tidak mudah mengeluh tatkala ditimpa musibah. Jiwa yang sihat, sentiasa tenang.

Sentiasa positif. Terasa bagai arus kehidupan ini berada dalam frekuensi yang sama. Segala-galanya seperti apa yang diimpikan.

kesihatan lelaki kesihatan dalaman jiwa 2

Jika tidak mendapat apa yang diharapkan, masih mampu mengukir senyum kerana yakin bahawa setiap apa yang terjadi ada hikmah yang tidak mampu dijangkau akal ini.

Apabila berbicara soal kesihatan jiwa, ia tidak dapat dipisahkan dengan ibadat. Hubungan kita sesama insan. Hubungan kita dengan Tuhan.

Bagi merungkai persoalan bagaimana ibadat memberi kesan terhadap kesihatan jiwa, penulis ingin memberikan contoh mudah iaitu solat dan zikir.

Pernahkah terdetik di fikiran, mengapa solat merupakan ibadah pertama yang akan dihisab di akhirat kelak? Cuba fikirkan, jika sedekah dalam bentuk harta dijadikan sebagai amalan utama, berapa ramai yang mampu untuk bersedekah?

Istimewanya ibadah solat, ia merupakan ibadah yang pertama akan dihisab kerana sesiapa sahaja mampu melaksanakannya.

Telah diberikan ruksah dalam solat bagi yang tidak berkemampuan. Hal ini jelas menunjukkan bahawa solat merupakan simbol ikatan kita dengan Allah S.W.T. Terjaga solat, kukuhlah tali ikatan kita dengan Pencipta, tenteramlah jiwa.

kesihatan lelaki kesihatan dalaman jiwa 3

Ketenteraman jiwa dapat diperoleh dengan melaksanakan solat. Ini janji Tuhan sebagaimana dijelaskan di dalam Al-Quran, di dalam surah al-Maarij, ayat 19-22 yang bermaksud ;

“Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut). Apabila ia ditimpa kesusahan, ia sangat resah gelisah. Dan apabila ia beroleh kesenangan, ia sangat bakhil kedekut. Kecuali orang-orang yang mengerjakan solat”

Zikir juga mampu memberikan ketenangan pada jiwa. Ia mampu menjadikan jiwa kita sihat dan hidup.

Berzikir dengan menyebut nama-nama Allah S.W.T, memuji-Nya, mampu menghadirkan suatu rasa kehambaan yang mendamaikan. Di dalam surah al-Ra’ad, ayat 27-28, Allah S.W.T telah berfirman;

“…Katakanlah, sesungguhnya Allah menyesatkan sesiapa yang Dia kehendaki dan memberi petunjuk kepadanya sesiapa yang bertaubat. (Iaitu) Orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.”

Oleh itu, jelaslah kepada kita akan pentingnya menjaga kesihatan jiwa dengan menjaga ibadah kita yang jelas meliputi segenap aspek kehidupan kita seperti hubungan kita dengan Tuhan, hubungan sesama manusia dan tingkah laku.

Dengan jiwa yang sihat, ia akan mempengaruhi kesihatan fizikal dan dalaman ( proses-proses yang berlaku di dalam badan) secara total sekaligus melahirkan insan yang lebih beriman dan bertakwa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!