Khasiat kopi untuk tubuh badan

  • 3 min read
  • Apr 13, 2022
khasiat kopi

Kopi adalah minuman yang disediakan daripada bancuhan biji kopi panggang. Khasiat kopi memang maklum dalam kalangan masyarakat kita.

Dikatakan bahawa sekumpulan masyarakat etnik di Ethiopia antara yang pertama mengesan khasiat kafein dalam kopi. Ia terjadi apabila kambing peliharaan mereka mula menunjukkan keaktifan luar biasa selepas diberi kopi.

Kopi berada di tempat kedua dalam senarai minuman paling popular di dunia, selepas air kosong (plain water). Kesan dan khasiat kopi boleh dirasai selepas hanya kira-kira 10 minit selepas meminumnya.

Kopi adalah minuman yang paling digemari terutama untuk remaja sekarang, tetapi minum kopi terlalu banyak jugak dapat memberi kesan yang tidak baik untuk buah pinggang terutama kopi 3 in 1.

Kopi memainkan peranan penting dalam membentuk dan mengubah pelbagai budaya meminum minuman panas di serata pelusuk dunia.

Lebih dikenali sebagai ‘kopi’ di Malaysia, minuman ini pertama kali diperkenalkan sewaktu pembukaan kedai-kedai ‘kopitiam’ (‘kopi’ diambil dari Bahasa Melayu dan ‘tiam’ bermaksud kedai dalam dialek Hokkien) bermula di zaman penjajahan British.

Tidak seperti negara lain yang menggunakan kaedah bru, kopi di Malaysia dipanggang dengan mentega dan gula sebelum ditambah dengan air mendidih melalui penapis kain.

Kopi paling terkenal dalam kalangan pelajar kerana ia dapat buat si peminum merasa segar dan dapat menahan mata dari mengantuk.

Salah satu sebab mereka mengambil kopi adalah kerana dengan khasiat kopi mereka dapat menyiapkan tugasan mereka dengan badan yang segar dan menghilangkan rasa mengantuk.

Khasiat Kopi Menurut Ahli Kimia

Dr Fatimah Salim iaitu seorang ahli kimia di sebuah universiti Malaysia ada berkongsi tentang khasiat kopi menerusi facebook miliknya.

Anda boleh membaca perkongsian beliau di bawah ini untuk menambah pengetahuan tentang kahsiat kopi terutamanya kepada penggemar kopi.

“Tidak pernah dalam sehari saya tidak minum kopi selain bulan puasa. Iya, bulan puasa ialah satu-satu bulan yang saya tidak akan minum kopi langsung.

Bukan apa, tujuan saya minum kopi adalah sebagai penggalak dalam fokus dan terus segar. Pun begitu, biasanya saya akan ambil sehari 1-2 cawan (pagi kopi bergula, selepas makan tengahari kopi kosong).

Kecuali kalau menghadiri seminar atau bersantai dengan rakan, boleh jadi 4 cawan sehari!

Petang memang saya elakkan minum kopi. Kalau tidak, memang terkebil-kebil malam tidak dapat tidur.

Semasa bersahur pula, saya lebih utamakan air kosong. Jadi minuman manis atau kopi memang saya tidak sentuh”

Bahan Kimia Aktif Dalam Kopi

Bahan kimia aktif yang bertanggungjawab bagi kita daya fokus selepas minum kopi adalah kafein.

Kafein merupakan sejenis molekul semulajadi daripada kumpulan berfungsi alkaloid yang banyak didapati dalam tumbuhan seperti kopi, teh dan koko.

Ianya merupakan perangsang sistem saraf pusat.

Walaupun kafein ini ada baiknya, ia juga mempunyai kesan sampingan.

Namun, kesan sampingan kafein adalah bergantung kepada dos dan penerimaan badan individu. Ini termasuklah sakit kepala, resah, gelisah, loya, keletihan, kerap kencing…

Jadi tidak hairan jika ramai saja individu yang tidak mengambil kopi. Pun begitu kesan sampingan ini biasanya akan hilang dalam masa 10 hari dengan pengambilan tetap.

Maksudnya badan sudah mula bertoleransi dengan kehadiran kafein.

Kopi Pencetus Dan Penggalak Kanser?

Semua jenis kopi juga mengandungi bahan kimia pencetus dan penggalak kanser iaitu acrylamide. Bahan kimia ini terbentuk daripada proses memanggang kopi itu sendiri.

Namun, disebabkan kandungan antioksida lain dalam kopi termasuklah bahan kimia kafein, asid klorogenik, ferulik dan n-komerik, kajian menunjukkan sebaliknya pengambilan kopi boleh mengurangi risiko menghidap berberapa jenis kanser contohnya kanser kulit, darah, usus, hati dan payu dara.

Menariknya, kajian juga menunjukkan individu yang meminum kopi (2-3 cawan sehari) berupaya mengurangi risiko dalam menghidap penyakit jantung, hati, depresi, Parkinson’s dan Alzheimer.

Pun begitu, kita semua maklum yang apa-apa yang berlebihan boleh membawa mudarat.

Maka, FDA menghadkan pengambilan kopi 4-5 cawan sehari iaitu bersamaan dengan kandungan maksimum kafein berjumlah 400 mg.

Walaupun khasiat kopi tidak dipertikaikan, pengambilan kopi hendaklah di hadkan supaya ianya tidak memudaratkan tubuh badan kita.

Ia mempunyai kebaikan serta keburukan tersendiri tetapi adalah lebih baik jika kita hanya mengambil kopi kosong tanpa sebarang gula dan susu yang berlebihan untuk mengelakkan penyakit seperti kencing manis.

Penggemar kopi sekarang hanya banyak minum kopi yang dicampurkan dengan pelbagai bahan di dalamnya.

Khasiat kopi boleh hilang jika dicampurkan dengan bermacam-macam bahan seperti gula, susu, karamel dan sebagainya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *