Manusia diciptakan lelaki dan perempuan, haiwan pula ada yang jantan dan ada yang betina.
Selain daripada rupa bentuk fizikal, terdapat banyak lagi perbezaan dan persamaan yang ada pada kedua makhluk ciptaan Allah SWT ini.
Amatlah penting untuk lelaki dan perempuan ini memahami perbezaan dan persamaan antara satu sama lain untuk mewujudkan persefahaman dalam kehidupan.
Persefahaman adalah sangant perlu demi mencapai keharmonian dan kebahagiaan dalam sesuatu hubungan.
Jadi, marilah kita ambil cakna persamaan dan perbezaan lelaki dan perempuan ini.

Persamaan :
- Kedua- dua lelaki dan perempuan mempunyai tanggungjawab dalam mengabdikan diri kepada Yang Maha Pencipta. Tiada makhluk yang terlepas dalam beribadat kepada Allah SWT mengikut kemampuan masing- masing.
- Perasaan inginkan perhatian dan disayangi ada pada setiap individu. Sedangkan Rasulullah sendiri menganjurkan agar umatnya hidup dalam berkasih sayang. Oleh itu lelaki dan perempuan sangat mendambakan perhatian daripada orang yang disayanginya.
- Tanggungjawab. Para lelaki dan wanita tidak akan dapat lari dalam menunaikan tanggungjawab. Tanggungjawab terdiri dalam pelbagai bentuk seperti tanggungjawab sebagai pelajar, anak, suami, isteri dan yang paling utama ialah sebagai hamba kepada Allah.
- Saling memerlukan. Lelaki dan perempuan saling memerlukan dan melengkapi antara satu sama lain. Tarikan lelaki adalah perempuan dan tarikan perempuan adalah lelaki dan ini sudah menjadi lumrah dalam kehidupan.
- Perempuan dan lelaki lebih dominan dalam sesetengah keadaan. Lelaki mendahului sebagai pemimpin dan mengendalikan bahtera rumah tangga. Manakala, perempuan pula lebih cekap dalam menguruskan rumah tangga dan mengasuh anak.

Perbezaan yang menjadikan setiap manusia itu unik dengan cara masing- masing.
Alangkah bosannya hidup ini jika semua makhluk diciptakan serupa sahaja. Perbezaan jugalah yang mencipta kepelbagaian dan warna- warni dalam hidup ini.
Perbezaan :
- Suami sebagai imam (ketua), perempuan sebagai makmum (pengikut). Mari kita renungkan satu ayat Al- Quran surah an- Nisa’ yang bermaksud, kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita) ….. Jelas disebut dalam ayat tersebut lelaki diciptakan untuk memimpin maka amanah dan tanggungjawab mereka adalah lebih berat daripada kaum perempuan.
- Perempuan lebih gemar bercakap berbanding lelaki. Bagi lelaki, kita boleh lihat sendiri dalam keluarga, siapa yang lebih banyak berkata- kata, ayah atau ibu? Kebanyakannya akan menjawab ibu. Perempuan lumrahnya memang suka bercakap dan sebagai lelaki yang penyabar, dengarlah apa yang dikatakan oleh perempuan selagimana ianya tidak mengatakan keburukan seseorang ataupun mengumpat. Kerana ini lah, dosa wanita banyak datang daripada mulut dan dosa lelaki datang daripada mata.
- Perempuan berfikiran kompleks daripada lelaki. Apabila seorang wanita ingin melakukan sesuatu perkara, dia akan terlebih dahulu memikirkan apa kemungkinan yang akan terjadi. Oleh itu, mereka lebih senang untuk menyediakan persiapan terlebih dahulu. Manakala bagi lelaki mereka satu matlamat dan hanya akan fokus terhadap matlamat tersebut. Sebagai contoh, seorang isteri yang bekerja akan mempersiapkan anak- anak dan suami dahulu, kerja rumah dan selepas itu baru bersiap ke kerja manakala, matlamat utama lelaki hanyalah pergi ke pejabat.
- Wanita berfikir menggunakan emosi dan lelaki berfikir menggunakan akal. Pasti anda pernah mendengar lelaki mempunyai 9 akal dan satu nafsu dan perempuan mempunyai 9 nafsu dan 1 akal. Menjadi tugas lelaki untuk menguruskan nafsu- nafsu perempuan dengan menggunakan akal mereka. Oleh itu, selalu kita lihat, lelaki lebih berfikiran rasional daripada wanita yang selalunya membuat keputusan berdasarkan emosi mereka. Lelaki haruslah bijak dalam mengawal emosi wanita menggunakan akal yang waras supaya keharmonian dapat dicapai.
- Perempuan lebih mengambil berat dalam penampilan. Oleh sebab ini lah wanita lebih gemar membeli belah daripada lelaki. Perempuan sentiasa memastikan dirinya kelihatan menarik dan cantik dalam apa sahaja yang mereka pakai. Lelaki pula cukup dengan sekadar yang ada selagi ianya kemas.

Akuilah persamaan dan perbezaan masing-masing kerana itu semualah yang menceriakan kehidupan kita.
Dengan persamaan kita dapat berkongsi, dengan perbezaan kita lebih saling melengkapi.