Racun Ikan Buntal Boleh Membunuh?

  • 2 min read
  • Oct 26, 2022
ikan buntal
racun ikan buntal
racun ikan buntal

Apa Yang Membuatkan Racun Ikan Buntal Bahaya?

Ikan buntal merupakan sejenis ikan berduri yang sinonim dengan kandungan bahan kimia racun aka toksin jenis tetrodotoxin (TTX).

Setakat ini terdapat 26 bahan kimia terbitan TTX semulajadi yang diketahui. Bahan kimia ini sangat kuat kesannya terhadap sistem saraf manusia (neurotoxin) dan boleh membawa maut.

Kesannya jauh lagi kuat daripada racun arsenik dan sianida. Dianggarkan jumlah toksin dalam seekor ikan buntal mampu membunuh 30 orang dewasa.

Toksin dalam ikan buntal ini terkandung dalam organ dalaman ikan iaitu hati, kulit dan organ peranakan. Toksin ini menyerang sistem saraf mangsa yang mana boleh membawa kepada lumpuhnya otot.

Keadaan ini akan menyebabkan mangsa sukar bernafas, jantung hilang fungsi dan boleh membawa kepada kematian.

Setakat ini, tidak ada ubat yang boleh merawat kesan toksin ikan buntal ini. Rawatan yang biasa diberikan adalah bantuan pernafasan sehingga toksin dalam badan mangsa dikeluarkan dari badan secara semulajadi.

cpr
racun ikan buntal

Bahan kimia toksin ini bersifat stabil haba dan tidak boleh termusnah dalam proses memasak biasa. Namun dengan kemahiran tinggi dalam mengeluarkan toksin ini, ikan buntal selamat dimakan.

Ikan buntal terutamnya dari genus Takifugu menjadi makanan kegemaran di negara Jepun, Korea dan China.

Di Malaysia seperti di kawasan Betong (Sarawak) juga menjadikan ikan buntal makanan yang lazat dimasak dengan pelbagai menu seperti kari, asam pedas, panggang atau digoreng setelah toksin dikeluarkan.

Saya juga pernah merasa ikan buntal kiriman seorang rakan follower FB. Cuma yang ini jenis yang telah diawet, ikan masin kering.

Secara peribadi, bagi saya ikan buntal ini rasanya sedap. Kulitnya liat seperti ikan kerapu, namun lebih tebal.

Menariknya, dapatan kajian menunjukkan toksin dalam badan ikan buntal ini sebenarnya terbentuk daripada sumber makanan ikan ini yang dicemari dengan bakteria penghasil toksin tetrodotoxin seperti Vibrio alginolyticus, Vibrio damsela, Straphyococcus sp., dan Bacillus sp., Pseudomans sp.

Bakteria jenis ini hidup secara simbiotik dengan ikan buntal. Selain daripada ikan buntal, bahan kimia toksin TTX juga boleh hidup di dalam haiwan lain seperti sesetengah jenis sotong dan cacing, kerang-kerangan, tapak sulaiman, dan katak.

Mengetahui kitaran ini, saintis telah membantu penternak untuk memelihara ikan buntal yang bebas daripada toksin dan selamat dimakan tanpa melalui proses menyiang yang teliti. Cuma lumrah, yang liar itu lebih sedap rasanya.

Related Post :

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *