Solat Jamak Dan Qasar

  • 3 min read
  • Nov 03, 2022
Panduan Penuh Tentang jamak

Solat Jamak Dan Qasar adalah suatu keringanan yang diberi oleh Allah SWT kepada hamba-Nya bagi orang musafir dengan jarak dua marhalah atau 85km – 90km.

Perkara yang penting sebelum keluar dari kediaman untuk bermusafir adalah niat. Contoh niatnya adalah:

“Sahaja aku musafir kerana Allah Taala.”

solat jamak dan qasar
solat jamak dan qasar

Panduan Solat Jamak Dan Qasar

Pengertian Solat Jamak Dan Qasar

Apabila kita bermusafir lebih daripada dua marhalah, kita diberi kelonggaran untuk menjamak (menghimpun) dan mengqasar (memendekkan) solat.

Begitulah pentingnya solat itu sehingga Allah SWT tetap mewajibkan ianya didirikan meskipun berada dalam perjalanan atau sebagainya.

Cuma cara solat itu diberi sedikit ruksah atau kelonggaran bersesuaian dengan situasi sebagai musafir. Konsep ini sebenarnya mengajar kita bahawa solat itu wajib dilakukan tidak kira dalam apapun situasi tetapi pada masa yang sama ianya menjadi mudah.

Solat Qasar (Memendekkan)

‘Qasar’ berasal daripada perkataan Arab iaitu ‘qasara’ yang bermaksud ‘memendekkan’ atau ‘tidak memanjangkan’.

Dari sudut fikah, ia bermaksud solat fardhu empat rakaat yang dipendekkan menjadi dua rakaat, iaitu solat zuhur, asar dan isyak.

Allah SWT berfirman:

“Dan apabila kamu bermusafir di muka bumi, maka tidak mengapa kamu mengqasarkan sembahyang (-mu), jika takut diserang orang kafir. Sesungguhnya orang kafir itu musuh yang nyata bagimu.”

(an-Nisa: 101)

Solat Jamak (Menghimpunkan)

Solat Jamak bermaksud menghimpunkan atau mengumpulkan 2 solat dalam satu waktu. Jamak pula terbahagi kepada jamak takdim dan jamak takhir.

Jamak Takdim

Jamak Takdim adalah menunaikan solat yang kedua dalam waktu yang pertama seperti solat asar didirikan dalam waktu zuhur dan isyak ditunaikan dalam waktu maghrib.

Syarat Jamak Takdim

  1. Tertib – dahulukan solat pertama kemudian diikuti dengan solat kedua, contohya solat zuhur dahulu kemudian diikuti dengan solat asar.
  2. Niat menghimpunkan solat kedua ke dalam waktu solat pertama.
  3. Segera menunaikan solat kedua sesudah selesai solat yang pertama tanpa memisahkannya pada tempoh yang lama.
  4. Masih dalam perjalanan ketika melakukan solat yang kedua.

Jamak Takhir

Jamak Takhir adalah melewatkan solat pertama dengan menunaikannya pada waktu kedua, contohnya seperti solat zuhur ditunaikan dalam waktu asar dan solat maghrib didirikan dalam waktu isyak.

Syarat Jamak Takhir

  1. Niat untuk melewatkan solat pertama ke dalam solat kedua sebelum berakhirnya waktu solat pertama.
  2. Masih dalam perjalanan ketika melakukan kedua-dua solat.

Waktu solat yang dibolehkan untuk solat jamak seperti berikut:

  1. Solat zuhur dan asar dalam waktu zuhur.
  2. Solat zuhur dan asar dalam waktu asar.
  3. Solat maghrib dan isyak dalam waktu maghrib.
  4. Solat maghrib dan isyak dalam waktu isyak.

Syarat Qasar Solat

Solat ini tidak boleh dilakukan sewenangnya, ianya mestilah mempunyai syarat-syarat yang sudah ditentukan oleh syarak. Berikut adalah syarat mengqasarkan solat fardhu:

  1. Ketika dalam perjalanan atau sedang bermusafir.
  2. Jarak perjalanan sekurang-kurangnya sejauh dua marhalah atau 80km – 90km.
  3. Perjalanan mestilah tidak bertujuan melakukan maksiat atau bercampur dengan urusan maksiat.
  4. Perlu berada dalam perjalanan selama solat ini dilakukan.
  5. Tidak tiba di kediaman sendiri atau tiba ke destinasi.
  6. Mesti melepasi sempadan pekan atau bandar tempat tinggal.
  7. Solat yang diqasarkan adalah solat tunai dan bukan solat qada. Solat tunai adalah solat yang dilakukan pada waktunya ketika dalam perjalanan.
  8. Solat yang diqasarkan adalah solat empat rakaat iaitu zuhur, asar dan isyak.
  9. Berniat qasar ketika takbiratulihram.
  10. Tidak menjadi makmum kepada mereka yang bersolat penuh atau sempurna empat rakaat.
  11. Tidak boleh juga menjadi makmum kepada imam yang tidak diketahui niatnya samada qasar atau penuh.
  12. Tidak berniat untuk tinggal atau menetap di tempat yang dituju selama empat hari atau lebih. Tidak termasuk hari pergi dan kembali.

Cara Menunaikan Solat Jamak dan Qasar

Niat Jamak Takdim dan diQasarkan (dipendekkan)

SOLAT ZUHUR – ASAR

“Sahaja aku solat fardhu Zohor dua rakaat dipendekkan dan dihimpunkan kepadanya Asar tunai kerana Allah SWT.”

“Sahaja aku solat fardhu Asar dua rakaat dipendekkan dan dihimpunkan kepadanya Zohor tunai kerana Allah SWT.”

SOLAT MAGHRIB – ISYAK

“Sahaja aku solat fardhu Maghrib tiga rakaat dipendekkan dan dihimpunkan kepadanya Isyak tunai kerana Allah SWT.”

“Sahaja aku solat fardhu Isyak dua rakaat dipendekkan dan dihimpunkan kepadanya Maghrib tunai kerana Allah SWT.”

Niat Jamak Takhir dan diQasarkan (dipendekkan)

SOLAT ASAR – ZOHOR

“Sahaja aku solat fardhu Asar dua rakaat dipendekkan dan dihimpunkan kepadanya Zohor tunai kerana Allah SWT.”

“Sahaja aku solat fardhu Zohor dua rakaat dipendekkan dan dihimpunkan kepadanya Asar tunai kerana Allah SWT.”

SOLAT ISYAK – MAGHRIB

“Sahaja aku solat fardhu Isyak dua rakaat dipendekkan dan dihimpunkan kepadanya Maghrib tunai kerana Allah SWT.”

“Sahaja aku solat fardhu Maghrib tiga rakaat dipendekkan dan dihimpunkan kepadanya Isyak tunai kerana Allah SWT.”

Related Post :

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *