Sejarah Penamaan Gua Musang
Gua Musang adalah sebuah daerah terbesar yang ada di Kelantan. Daerah ini bersempadan dengan Pahang di selatan, Terengganu di Timur dan Perak di barat.
Gua Musang dikelilingi oleh gua-gua dan bukit-bakau batu kapur, yang amat dikenali di kalangan pengembara gua dan pendaki gunung.
Terdapat pelbagai kisah mengenai penamaan daerah ini, antaranya adalah penduduk tempatan seringkali melihat musang di sekitar gua di pinggir bandar dan sejak itu mereka menggelar daerah ini Gua Musang.
Kisah lain mengikut cerita rakyat di situ dahulu adalah berkaitan dengan bomoh, di mana bomoh itu melakukan pengorbanan haiwan di hadapan gua.
Kesan kepada perbuatan itu, ribut serta kilat yang dasyat berlaku pada waktu itu dan ia telah menyambar puncak bukit di sini lalu membelahnya kepada dua.
Bomoh tersebut merasakan bahawa Tuhan Gua murka kepada mereka dan ketika mereka sedang berdoa, mereka ternampak sekumpulan besar musang. Disebabkan kejadian itu, mereka pun menamakan tempat ini sebagai Gua Musang.
Dengan kisah menakjubkan itu, Gua Musang juga menjadi tempat tumpuan pelancong. Beberapa tempat menarik di Gua Musang yang patut anda lawat jika ke sini.
Destinasi Menarik Yang Boleh Dikunjungi Di Gua Musang
Gua Madu
Gua Madu terletak kira-kira 4 kilometer dar bandar Gua Musang di Kampung Batu Papan. Ia adalah sebahagian gua batu kapur yang sangat unik ada di Gua Musang.
Gua Madu juga sesuai untuk penduduk kampung dan pelancong melakukan aktiviti rekreasi. Al kisahnya, di dinding-dinding gua ini terdapat sarang-sarang lebah dan madu lebah, maka gua ini dipanggil Gua Madu.
Masjid Buluh Gua Musang

Keunikan masjid ini adalah ia diperbuat daripada buluh yang dikenal sebagai “Masjid Buluh” pertama dibina di Kelantan. Masjid ini sering menjadi pilihan musafir terutama pengguna jalan raya yang berhenti untuk menunaikan solat.
Masjid ini dibina sendiri oleh Majlis Daerah Gua Musang, dimana ia sudah lengkap dengan kemudahan asas dan tempat parkir kereta yang luas.
Masjid Buluh ini terletak di tepi Jalan Gua Musang-Kuala Krai, berhampiran dengan gua batu kapur di Gua Musang. Destinasi persinggahan ini memberikan keselesaan kepada mereka yang datang untuk berhenti rehat, terutamanya kepada orang ramai yang balik ke kampung pada musim perayaan.
Masjid Buluh juga akan dijadikan salah satu destinasi pelancongan yang unik amnya di Gua Musang khususnya di Negeri Kelantan.
Gua Chiku 2

Keindahan Gua Chiku 2 yang terletak di tengah-tengah kawasan perkampungan Felda Chiku 2 Gua Musang, Kelantan menjadi tarikan kepada pengunjung tempatan dan luar daerah ini.
Gua batu kapur ini dikatakan sudah lama wujud sebelum pembukaan tanah di Felda Chiku 2 yang menempatkan 267 peneroka di kawasan itu.
Menerokai keindahan gua yang dianggarkan berusia ratusan tahun itu menyimpan pelbagai keunikan dan khazanah alam semula jadi.
Gua besar ini mempunyai tujuh tingkat dan di tingkat 1 terdapat pelbagai binatang dan benda unik berbentuk batu.
Antaranya adalah batu yang menyerupai bentuk gajah, ikan, katak, ular, cicak, burung helang, buaya, kasut, salji dan air terjun tujuh tingkat.
Gua yang berada di kawasan tanah berkeluasan 15 ekar itu mempunyai tiga pintu gua dan ianya boleh didaki oleh semua lapisan peringkat umur termasuklah golongan kanak-kanak.
Masjid Razaleigh (Model Masjidil Haram Mekah)
Masjid Razaleigh telah mula dibina pada akhir tahun 2016 yang bernilai RM35.1 juta dimana ia menyerupai model Masjidil Haram di Mekah.
Masjid dengan berkeluasan 99,000 kaki persegi itu mempunyai rekaan yang unik dan menarik menggunakan bahan binaan berkualiti tinggi termasuk jubin dibina di atas tapak seluas 1.5 hektar.
Masjid yang mampu menampung sehingga 3,500 jemaah ini diilhamkan oleh Ahli Parlimen Gua Musang, YBM. Tengku Razaleigh Hamzah.
Stesen Keretapi Lama Gua Musang

Stesen keretapi ini menarik kerana keindahan semulajadi yang mengelilinginya. Stesen ini terletak di kaki bukit, yang merupakan cerun batu yang sepi dan terpencil dengan tangga batu yang menjulang sehingga 105 meter.
Stesen ini terletak di pinggir bandar Gua Musang. Di sepanjang landasan keretapi terdapat jalan raya dua hala. Jarak dari stesen keretapi ke bandar lama kira-kira 1km manakala jarak dari stesen keretapi ke Bandar Baru Gua Musang kira-kira 6km.
Namun stesen keretapi lama di sini sebenarnya merupakan peninggalan sejarah kerana ia telah ditutup sejak tahun 2014 lagi akibat dari banjir besar yang menimpa negeri itu.
Walaupun begitu, ia tetap tersedia untuk fotografi atau sekadar untuk anda duduk dan mengagumi keindahannya.
Taman Etnobotani Gua Musang
Taman Etnobotani dibangunkan sebagai pusat penyelidikan hutan dan rekreasi bertujuan bagi memelihara kepentingan hasil hutan dan produk yang berkaitan khusunya produk herba.
Ia terletak berhampiran bandar Gua Musang iaitu di Jalan Gua Musang-Kuala Lipis dengan kawasan seluas 35 hektar.
Komponen utama Taman Etnobotani ialah taman herba, galleri herba, pusat inkubator (8 unit) untuk pengusaha IKS berasaskan herba,kemudahan aktiviti riadah, chalet, taman mini haiwan dan pelbagai kemudahan sokongan.
Antara aktiviti yang disediakan untuk pengunjung adalah lawatan ke kawasan tanaman pelbagai jenis herba, mendaki bukit, perkhemahan, titian kanopi dan anda juga berpeluang untuk menikmati keindahan gua.
Taman Etnobotani terkenal dengan tanaman herba dan pusat ternakan burung Kasawari dan rusa. Pelawat berpeluang melihat habitat spesies burung ini dan spesies Rusa Timor serta berpeluang mengetahui khasiat herba-herba untuk kesihatan.
Konservasi Bunga Rafflesia Lojing Highlands

Khazanah alam semulajadi di Lojing Highlands menjadikan daerah ini sebagai daerah Pelancongan & Peranginan pada masa hadapan seterusnya menjadi daya tarikan kepada pelancong dari dalam dan luar Negara.
Dikatakan, perkataan Lojing berasal daripada perkataan “Logging” dalam Bahasa Inggeris yang bermaksud pembalakan. Ia dinamakan seperti itu kerana kawasan ini merupakan antara kawasan pembalakan yang aktif sebelum ini.
Namun, semenjak penemuan populasi habitat bunga Rafflesia pada tahun 2002 oleh penyelidik tempatan, pelbagai langkah dan usaha telah dilakukan untuk melindungi ekosistem di kawasan tersebut daripada terus terjejas akibat aktiviti pembalakan.
Keunikan bunga Rafflesia ini telah menarik ramai pelancong bukan sahaja dari dalam negara malah turut menarik minat pelancong dari luar negara untuk datang melihat sendiri dengan lebih dekat
Para pelancong akan terpesona sambil melihat flora & fauna sepanjang perjalanan menuju ke lokasi Bunga Rafflesia.
Muse Ecopark
Ramai yang pastinya suka dengan aktiviti lasak seperti memanjat gunung/gua kerana ia merupakan kepuasan buat individu yang sukakan cabaran.
Bagi mereka yang mempunyai plan untuk bercuti ke Kelantan, apa kata untuk singgah sebentar di Gua Musang kerana ada ada satu lagi destinasi pelancongan baru dibuka iaitu Muse Ecopark yang terletak di perkarangan Masjid Buluh Gua Musang.
Aktiviti ini boleh dilakukan seramai 2-3 orang satu sesi dimana ia mengambil masa selama setengah jam sahaja, manakala jika dilakukan secara berkumpulan pula mungkin akan mengambil masa yang lebih lama.
Jangan khuatir kerana keselamatan pengunjung akan dipantau oleh tiga orang instruktor bagi menjaga keselamatan iaitu dari depan, belakang dan dari platform pada ketinggian 40 meter dan aktiviti flying fox pada ketinggian 15 meter.
Taman Negara Kuala Koh

Taman Negara Kuala Koh ini merupakan salah satu destinasi menarik yang ada di Gua Musang yang terletak di sempadan negeri Kelantan dan berada dalam jajahan Gua Musang.
Ia terletak dalam kawasan Hutan Simpan Lebir dan Hutan Simpan Bukit Hantu yang terletak kira-kira 96 kilometer dari bandar Gua Musang – Kuala Krai dan mudah dikunjungi oleh semua pengunjung.
Aset semulajadi yang ada di sini adalah kepelbagaian flora dan fauna serta ekosistem hutan hujan tropika. Bukan itu sahaja, malahan pengunjung juga boleh melakukan pelbagai aktiviti menarik di sini.
Aktiviti yang boleh dilakukan adalah seperti memerhati burung, memancing, berkhemah, menaiki titian kanopi, berkayak dan banyak lagi.
Terdapat 300 spesies burung yang ada di sini jadi anda berpeluang untuk mengambil gambar semua jenis spesies burung yang ada di sini.
Pelbagai fasilitas seperti chalet, asrama, restoren, tapak perkhemahan, perkhidmatan bot, surau, tempat letak kenderaan dan banyak lagi yang ada disediakan di sini.
Sungai Nenggiri & Rangkaian Jeram
Sungai Neggiri merupakan rangkaian utama sistem saliran sungai Jajahan Gua Musang yang menawarkan aktiviti lipur diri kepada pengunjung khususnya bagi aktiviti berkayak dan berakit selain aktiviti memancing.
Lokasi ini terletak kira-kira 30 kilometer dari Bandar Gua Musang melalui jalan tempatan (D30) menuju ke Kuala Betis. Kuala Betis merupakan pintu masuk (Check Point) atau tempat bermula aktiviti-aktiviti dan semua tarikan terletak di sepanjang Sungai Nenggiri.
Destinasi ini popular dengan aktiviti berakit dan ia juga mempunyai “santuari ikan kelah” yang dipercayai boleh mencapai berat sehingga 25kg.
Sepanjang sungai ini, terletak rangkaian gua-gua bersejarah yang pernah menjadi tempat penyelidikan arkeologi dengan penemuan rangka manusia pada zaman batu seperti Gua Cha dan Gua Peralen yang menjadi kemestian lawatan di dalam pakej-pakej berkaitan Sungai Nenggiri.
Kemudahan asas seperti surau, papan tanda dalaman, rumah rehat/penginapan, tandas dan lain-lain juga ada disediakan di sini.